Wednesday 7 March 2012

RIMAS MACAM NAK 'RAMAS'

Enam cara beritahu teman 'kepoh' anda "BLAH..." secara sopan

Pernahkah anda rasa privasi anda di pejabat seakan terganggu dengan kehadiran teman-teman yang suka menjaga tepi kain orang? Nak kata mereka ni peramah, memang dah terlebih peramah pun. Over! Nak kata prihatin tentang anda, hhmm... oh sama sekali tidak! Golongan suka jaga tepi kain ni, rasanya, lebih ghairah mengumpul maklumat untuk  'pangkalan data' gosipnya. Komen seperti: "Hai... cepat dah nak balik!" (walhal sebelum teman ini tiba di pejabat, anda sudah awal-awal lagi menatap komputer mencari rezeki halal) atau “Siapa tadi yang ambil awak dengan kereta?”  (walhal bukan urusannya) adalah antara yang terpacul daripada mulutnya.

Bagaimana menangani rakan-rakan merimaskan ini?

1. Kenali siapa teman & siapa bukan
Lihat sekeliling anda. Tinjau tabiat mereka yang bertugas dengan anda. Kalau ada yang tiba-tiba nak buat baik, awas! Hati-hati untuk tidak mendedahkan segalanya. Mana tahu ada 'musuh dalam selimut' atau teman jenis 'gunting dalam lipatan'. Yang paling 'klasik' ialah apabila anda dipanggil ke bilik bos dan teman ini tidak senang duduk dan mula menjenguk-jenguk. Sejurus anda kembali ke tempat anda, soalannya ialah:"Eh! Bos nak apa dengan kau?"

2. Tinjau budaya kerja mereka

Perhatikan cara teman ini bergaul, berbual dan berkongsi rahsia dengan teman-teman lain. Adakah mereka kerap menampakkan seakan mereka menyebelahi anda tetapi sebenarnya tidak dan gemar memberitahu anda: "Bos suruh aku cakap dengan kau sebab..." (Apa... bos tu tidak boleh langsung beritahu anda?) Adakah mereka akan mengutuk bos dan cuba mendapatkan pandangan anda tentang bos anda (sekali lagi untuk tampung 'pangkalan datanya')? Adakah mereka boleh diharap apabila diperlukan bantuan? Atau mereka jenis yang menjadi ejen perisik bos untuk 'korek' rahsia anda? Jika jawapannya ya, renggangkan hubungan anda dengan mereka.

3 Tidak hiraukan 'bebelan' negatif

Merungut, membebel dan selalu negatif. Biasanya, mereka adalah jenis yang tidak akan berkongsi ciri-ciri positif dalam hidup mereka untuk anda teladani. Sebab mereka tiada kerja atau kekurangan tugas, mereka akan mencari pasal dengan angin 'meneropong' kisah balik tabir anda. Lantaran itu, usah dilayan 'bebelan' negatif mereka.

4 Bersifat tegas dengan mereka

Jangan beri mereka ruang 'memujuk' anda mendedahkan segalanya. Anda harus tegas kalau mereka mati-mati ingin mencungkil rahsia anda dan menggunakan 'maklumat eksklusif' itu untuk menjatuhkan anda. Cara paling baik untuk elakkan daripada terperangkap dengan 'jerat' mereka ialah dengan berkata: "Jangan marah. Saya banyak kerja..." atau "Sudah makan" kalau mereka ajak keluar makan bersama. Itu adalah alasan paling lembut yang dapat anda berikan jika mereka 'main kasar' di belakang anda untuk mencungkil kelemahan anda.

5 Jangan takut

Usah rasa diri anda dibayangi ketakutan: "Alamak! Kalau kena korner dengan si 'kepoh' tu, bagaimana?" Orang-orang yang suka menjaga tepi kain orang ni biasanya nak jadi tumpuan di pejabat. Konon, dialah serba tahu tentang hal luar-dalam pejabat. Sayangnya, mereka hanya dedahkan kelemahan orang daripada memberi dorongan kepada orang lain.

6 Sebaiknya jauhkan diri

Elakkan dari perlu duduk berjam-jam hanya dengan si ’kepoh’ atau kuncu-kuncunya. Kalau ditanya soalan terlalu peribadi, jangan menjawab. Kalau ditanya "Semalam, saya nampak awak dengan seorang lelaki/wanita. Siapa tu?" Jawab saja: "Oh... itu hal peribadi. Saya enggan berkongsi." Dan, kalau dia menambah: "Takkan tak boleh kongsi?" Katakan saja: "Oh tak ada apa-apa. Semalam pun saya nampak awak dengan seseorang. Siapa tu? Lama-kelamaan, si 'kepoh' pun akan 'ketandusan tenaga bateri' untuk berbual dengan anda. Beri isyarat kepada si ’kepoh’ tu.........BLAH!!!!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment